En Kamaludin B Jusoh atau mesra dipanggil Pak Din
dilahirkan pada 3 Mei 1930 hasil perkongsian hidup ayahnya En Jusoh B Ahmad dan
ibunya Puan Hamidah Bt Abdullah . Beliau dilahirkan di Kampung Telok Layang,
Mukim Telok Kechai. Pak Din merupakan anak keempat dari enam adik beradik. Ibu Bapa beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan
Jepun.Menurut Pak Din , ibu bapa beliau hanya dikafankan menggunakan daun pisang
akibat tiada wang dan kehidupan yang perit dibawah pemerintahan Jepun.
Pendidikan Pak Din bermula pada awal tahun 1940an di Sekolah Kampung Telok
Kechai yang bertempat di Kuala Kedah. Pendidikan yang tertinggi adalah hanya
darjah lima,beliau tidak mampu untuk meneruskan persekolahan. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai
pengetahuan. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui
pengalaman keusahawanan sendiri semasa mudanya. Selepas tamat persekolahan
rendah, Pak Din giat dalam bermain permainan bola sepak sebagai hobi dan pernah
memenangi beberapa pertandingan bola sepak di peringkat kampung. Beliau juga
pernah menjadi nelayan untuk mencari duit lebih. Pada tahun 1946, Pak Din
selamat diijabkabulkan bersama isterinya pada ketika itu iaitu Allahyarham Tom
Bt Arifin . Pernikahan ini telah memberikan enam zuriat kepada pasangan ini
tetapi zuriat yang keempat telah meninggal dunia pada usia 18 bulan akibat
demam panas. Antara anak beliau ialah Rokiah(1949), Rasiah(1950)
Abu Bakar (1951) Adzami(1956) dan Roziana Noor (1969). Kesemua anaknya masih
mengendalikan perniagaan yang diturunkan olehnya kecuali Roziana Noor yang
memilih profesion guru sebagai kerjaya. Perniagaan beliau diteruskan dan
diwarisi oleh Puan Rokiah,Puan Rasiah,Encik Abu Bakar dan Encik Adzami dimana
masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
1.2 SEJARAH PENGLIBATAN
Pak Din merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang
telah mengecapi dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu
cemerlang dan patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain.
Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa
mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan keyakinan
diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya
dari berjual secara kecil-kecilan sehingga dapat membeli beberapa tanah lot dan
mendirikan sebuah restoran di Jalan Kuala Kedah,Kampung Telok Kechai
bersebelahan rumah yang diduduki beliau.Sebelum muncul sebagai anak Melayu
pertama yang mendalami keusahawanan di kawasan Telok Kechai, beliau sendiri
pernah menjadi protégé atau mentee.
Mentor kepada beliau tidak lain tidak
bukan adalah bapa mertua beliau sendiri, En Arifin binIbrahim . Dilahirkan pada
23 Oktober 1905 dan berasal dari wilayah Satun, utara Thailand, beliau adalah
pengasas kepada resepi rahsia laksa beras yang masih diturunkan dan digunakan dari
generasi ke generasi sehingga sekarang. Menurut Pak Din,bapa mertua
beliau menjual laksa dengan menggunakan kandar. Laksa di kandar pada bahu dan
Encik Ariffin akan menjual dari rumah ke rumah dengan hanya berjalan kaki. Kata
Pak Din ‘Bapa mertua saya adalah mentor saya, saya mempelajari dengan mendalam
setiap aspek industri pembuatan laksa daripadanya.Daripada beras sehingga menjadi
laksa yang dimakan sekarang’,sambil menunjukkan urat-urat laksa yang berwarna
putih bersih.
1.3 PENCETUS KEJAYAAN
Pada tahun 1951, laksa Telok Kechai
dijual dengan menggunakan basikal dan diletakkan di tempat tumpuan orang ramai,
selepas mengumpulkan modal yang mencukupi , Pak Din bersama-sama Puan Tom
membuka gerai laksa dibawah rumah yang sekarang masih diduduki
anak-anak,cucu-cucu dan cicitnya. Selepas tahun 1961, perniagaan dibawah rumah
beliau menjadi terkenal dan pelbagai orang ternama yang datang untuk menjamu
selera. Pada tahun 1970-an,Pak
Din dapat membeli mesin memproses laksa yang bernilai
RM10 ribu,hasilan daripada menjual laksa. Ini bagi menggantikan tenaga manusia
yang memproses seratus peratus secara manual serta mempertingkatkan jumlah
pengeluaran laksa secara efektif. Tambahan pula,dengan adanya permintaan laksa
yang tinggi dari pelanggan memang satu langkah yang bijak diambil oleh Pak Din
untuk membeli mesin tersebut. Keuntungan yang diperolehi sememangnya membuahkan
hasil kerana beliau dapat membeli mesin untuk memproses ikan pula. Sekali
gus,menaikkan nama negeri Kedah dan menjadikan kawasan Telok Kechai terkenal
dengan panggilan Laksa Telok Kechai.
Daripada pemerhatian beliau semasa
bekerja sebagai penolong En Arifin di rumah mereka pada awal 1960an di mana
kebanyakan makanan peranakan yang dimonopoli oleh kaum asing, telah mencetuskan
idea beliau untuk menghasilkan laksa beras dan kuah yang unik untuk dimakan
oleh masyarakat Melayu di kawasan ini.
Di samping itu, beliau sentiasa memegang kepada prinsip
kejujuran, menitikberatkan mutu barangan yang dihasilkan, keutamaan dan
pandangan pelanggan terhadap makanan tidak pernah diambil ringan.kata beliau,
“Hendak berniaga memerlukan pengorbanan yang besar, apa yang pelanggan
kehendaki maka permintaan itu perlu dipenuhi, sebagai peniaga Pak Cik berasa
gembira dan puas jika dapat memenuhi kehendak pelanggan yang datang menjamu
selera di restoran Din Laksa. Oleh itu,aspek penjagaan pelanggan dan makanan
amat ditekankan di sini.” Sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati
oleh pelanggan, beliau pasti akan memperbaiki mutu produknya dengan bertanyakan
kepada pelanggan akan tahap kepuasan mereka terhadap makanan yang dihasilkanya.
Beliau akan cuba mencari pnyelesaian jika terdapat masalah.
Menurut Pak Din, keistimewaan yang
terdapat pada laksa beras ialah laksanya yang lembut dan proses yang perlu
dilakukan adalah dengan merebusnya sebanyak dua kali. Selain itu, Laksa ini
juga dilengkapkan dengan kehadiran kuahnya yang pekat dan menggunakan isi ikan
yang segar. Kuah ini telah dicetuskan oleh isteri beliau, Puan Tom yang mempunyai
kepakaran dalam masakan Melayu. Juadah ini dinikmati oleh majoriti masyarakat
Melayu dan
Cina, dan minoriti kaum lain. Bahan-bahan
yang digunakan juga bermutu,segar dan baik untuk kesihatan. Laksa Din Telok
Kechai adalah restoran bumiputera yang terkenal dalam industri pembuatan dan
penjualan produk makanan tempatan berasaskan laksa, laksam, dan sate yang merupakan
diantara produk yang paling diminati oleh masyarakat. Sekitar tahun 80-an, En
Kamaludin Jusoh menumpukan usaha beliau kepada bidang yang membawa tuah
kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh bumiputera yang berjaya di
Kedah. Beliau yang
amat meminati bidang pengurusan dan perniagaan adalah salah seorang manusia
yang bertanggungjawab menjadikan Kampung Telok Kechai menjadi terkenal di
seluruh negeri dalam tempoh yang singkat.
1.4 PERKEMBANGAN YANG DILAKUKAN
OLEH TOKOH DALAM BIDANG YANG DICEBURI
Perniagaan Din Laksa Telok Kechai sudah
mengalami dekad perubahan dari segi ekonomi, politik dan sosial. Menurut
beliau, walaupun laksa beras diasaskan pada tahun 50 an tetapi perniagaan ini
berjaya menarik perhatian masyarakat yang menetap di luar kawasan Kampung Telok
Kechai dan terkenal pada tahun 1971. Pada ketika itu, laksa beras beliau
menjadi sebutan dan pilihan ramai orang. Pak Din yang arif akan dunia yang
diceburi beliau mengatakan bahawa salah satu kaedah yang digunakan untuk
menarik pelanggan tetap ialah dengan tidak sewenang-wenangnya mengubah harga
makanan walaupun Din Laksa telah dikenali ramai oleh disebabkan prinsip utama
yang diamalkan oleh beliau iaitu “keuntungan berasaskan kepuasan pelanggan” .
Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap peniaga-peniaga yang tidak
beramanah dalam berjual beli dan berpendapat bahawa batu asas kepada
perniagaan ialah kejujuran dan ikhlas yang ditonjolkan bukan hanya
untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi amal jariah yang perlu
diutamakan .
1.5 JATUH BANGUN PERNIAGAAN YANG
DIJALANKAN OLEH TOKOH
Ketika memulakan perniagaan, En Arifin
dan Pak Din terpaksa menjual tanah selain berpindah dari rumah yang berada di
Kuala Kedah dan berpindah ke kawasan Telok Chengai bagi memastikan apa yang
dirancang menjadi kenyataan. Beliau nekad untuk menjadi pengusaha laksa beras
yang berjaya supaya nama Din Laksa Telok Kechai dapat memperkenalkan jenama
laksa beras ke seluruh pelosok Malaysia. Idea penubuhan ini disuarakan oleh En
Arifin yang berjaya menemui resepi rahsia kuah laksa yang diturunkan oleh nenek
saudara beliau yang berasal dari Siam . Tanpa melengahkan masa,
mereka memulakan perniagaan dengan menggunakan bahan yang sedia ada malah
sedikit akibat kekurangan modal. En Arifin dan Pak Din terpaksa menggunakan
tenaga manusia untuk menghasilkan bahan-bahan untuk pembuatan laksa kerana
ingin kos mesin yang agak mahal pada ketika itu. Selepas menjualnya kepada
jiran-jiran terdekat, Pak Din mengambil pendekatan untuk mempopularkan laksa
dengan melakukan publisiti dari mulut ke mulut dan usaha ini ternyata berhasil
apabila pelanggan semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Pada akhir tahun 1998, Pak Din
telah mendapat idea untuk memindahkan lokasi perniagaan mereka ke suatu tempat
yang lebih luas akibat keterbatasan ruang semasa berniaga dibawah rumah beliau.
Oleh itu, beliau telah membeli sebuah lot tanah yang terletak bersebelahan
dengan rumah yang diduduki beliau. Ini juga bagi memudahkan pergerakkan dan kerja
untuk menjalankan perniagaan kerana lokasinya yang berdekatan antara satu sama
lain. Melalui perancangan dan pelaksanaan inilah laksa beras beliau telah
dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Din Laksa Teluk Kechai. Walaupun
perniagaan ini telah menerima pelbagai cabaran, persaingan yang kuat dan
kedudukan ekonomi yang gawat tohmahan dari masyarakat tetapi berkat
kebijaksanaan dan ketekunan En Kamaluddin, beliau bersama-sama keluarga beliau
berjaya mengharungi segala permasalahan yang mendatang dengan sabar. Kini Pak Din menghabiskan masa lapangnya dengan beribadah selepas mewariskan perniagaan itu kepada anak cucunya.
GAMBAR-GAMBAR YANG DIAMBIL DARI TAHUN 1973 HINGGA 2014