Friday, April 4, 2014

KISAH HIDUP PAK DIN



           En Kamaludin B Jusoh atau mesra dipanggil Pak Din dilahirkan pada 3 Mei 1930 hasil perkongsian hidup ayahnya En Jusoh B Ahmad dan ibunya Puan Hamidah Bt Abdullah . Beliau dilahirkan di Kampung Telok Layang, Mukim Telok Kechai. Pak Din merupakan anak keempat dari enam adik beradik. Ibu Bapa beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Jepun.Menurut Pak Din , ibu bapa beliau hanya dikafankan menggunakan daun pisang akibat tiada wang dan kehidupan yang perit dibawah pemerintahan Jepun. Pendidikan Pak Din bermula pada awal tahun 1940an di Sekolah Kampung Telok Kechai yang bertempat di Kuala Kedah. Pendidikan yang tertinggi adalah hanya darjah lima,beliau tidak mampu untuk meneruskan persekolahan. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai pengetahuan. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman keusahawanan sendiri semasa mudanya. Selepas tamat persekolahan rendah, Pak Din giat dalam bermain permainan bola sepak sebagai hobi dan pernah memenangi beberapa pertandingan bola sepak di peringkat kampung. Beliau juga pernah menjadi nelayan untuk mencari duit lebih. Pada tahun 1946, Pak Din selamat diijabkabulkan bersama isterinya pada ketika itu iaitu Allahyarham Tom Bt Arifin . Pernikahan ini telah memberikan enam zuriat kepada pasangan ini tetapi zuriat yang keempat telah meninggal dunia pada usia 18 bulan akibat demam panas. Antara anak beliau ialah Rokiah(1949), Rasiah(1950) Abu Bakar (1951) Adzami(1956) dan Roziana Noor (1969). Kesemua anaknya masih mengendalikan perniagaan yang diturunkan olehnya kecuali Roziana Noor yang memilih profesion guru sebagai kerjaya. Perniagaan beliau diteruskan dan diwarisi oleh Puan Rokiah,Puan Rasiah,Encik Abu Bakar dan Encik Adzami dimana masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
 1.2 SEJARAH PENGLIBATAN

Pak Din merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang telah mengecapi dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain. Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya dari berjual secara kecil-kecilan sehingga dapat membeli beberapa tanah lot dan mendirikan sebuah restoran di Jalan Kuala Kedah,Kampung Telok Kechai bersebelahan rumah yang diduduki beliau.Sebelum muncul sebagai anak Melayu pertama yang mendalami keusahawanan di kawasan Telok Kechai, beliau sendiri pernah menjadi protégé atau mentee.
Mentor kepada beliau tidak lain tidak bukan adalah bapa mertua beliau sendiri, En Arifin binIbrahim . Dilahirkan pada 23 Oktober 1905 dan berasal dari wilayah Satun, utara Thailand, beliau adalah pengasas kepada resepi rahsia laksa beras yang masih diturunkan dan digunakan dari generasi ke generasi sehingga sekarang. Menurut Pak Din,bapa mertua beliau menjual laksa dengan menggunakan kandar. Laksa di kandar pada bahu dan Encik Ariffin akan menjual dari rumah ke rumah dengan hanya berjalan kaki. Kata Pak Din ‘Bapa mertua saya adalah mentor saya, saya mempelajari dengan mendalam setiap aspek industri pembuatan laksa daripadanya.Daripada beras sehingga menjadi laksa yang dimakan sekarang’,sambil menunjukkan urat-urat laksa yang berwarna putih bersih.
1.3 PENCETUS KEJAYAAN

Pada tahun 1951, laksa Telok Kechai dijual dengan menggunakan basikal dan diletakkan di tempat tumpuan orang ramai, selepas mengumpulkan modal yang mencukupi , Pak Din bersama-sama Puan Tom membuka gerai laksa dibawah rumah yang sekarang masih diduduki anak-anak,cucu-cucu dan cicitnya. Selepas tahun 1961, perniagaan dibawah rumah beliau menjadi terkenal dan pelbagai orang ternama yang datang untuk menjamu selera. Pada tahun 1970-an,Pak
Din dapat membeli mesin memproses laksa yang bernilai RM10 ribu,hasilan daripada menjual laksa. Ini bagi menggantikan tenaga manusia yang memproses seratus peratus secara manual serta mempertingkatkan jumlah pengeluaran laksa secara efektif. Tambahan pula,dengan adanya permintaan laksa yang tinggi dari pelanggan memang satu langkah yang bijak diambil oleh Pak Din untuk membeli mesin tersebut. Keuntungan yang diperolehi sememangnya membuahkan hasil kerana beliau dapat membeli mesin untuk memproses ikan pula. Sekali gus,menaikkan nama negeri Kedah dan menjadikan kawasan Telok Kechai terkenal dengan panggilan Laksa Telok Kechai.

Daripada pemerhatian beliau semasa bekerja sebagai penolong En Arifin di rumah mereka pada awal 1960an di mana kebanyakan makanan peranakan yang dimonopoli oleh kaum asing, telah mencetuskan idea beliau untuk menghasilkan laksa beras dan kuah yang unik untuk dimakan oleh masyarakat Melayu di kawasan ini. 
Di samping itu, beliau sentiasa memegang kepada prinsip kejujuran, menitikberatkan mutu barangan yang dihasilkan, keutamaan dan pandangan pelanggan terhadap makanan tidak pernah diambil ringan.kata beliau, “Hendak berniaga memerlukan pengorbanan yang besar, apa yang pelanggan kehendaki maka permintaan itu perlu dipenuhi, sebagai peniaga Pak Cik berasa gembira dan puas jika dapat memenuhi kehendak pelanggan yang datang menjamu selera di restoran Din Laksa. Oleh itu,aspek penjagaan pelanggan dan makanan amat ditekankan di sini.”  Sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati oleh pelanggan, beliau pasti akan memperbaiki mutu produknya dengan bertanyakan kepada pelanggan akan tahap kepuasan mereka terhadap makanan yang dihasilkanya. Beliau akan cuba mencari pnyelesaian jika terdapat masalah.

Menurut Pak Din, keistimewaan yang terdapat pada laksa beras ialah laksanya yang lembut dan proses yang perlu dilakukan adalah dengan merebusnya sebanyak dua kali. Selain itu, Laksa ini juga dilengkapkan dengan kehadiran kuahnya yang pekat dan menggunakan isi ikan yang segar. Kuah ini telah dicetuskan oleh isteri beliau, Puan Tom yang mempunyai kepakaran dalam masakan Melayu. Juadah ini dinikmati oleh majoriti masyarakat Melayu dan
Cina, dan minoriti kaum lain. Bahan-bahan yang digunakan juga bermutu,segar dan baik untuk kesihatan. Laksa Din Telok Kechai adalah restoran bumiputera yang terkenal dalam industri pembuatan dan penjualan produk makanan tempatan berasaskan laksa, laksam, dan sate yang merupakan diantara produk yang paling diminati oleh masyarakat. Sekitar tahun 80-an, En Kamaludin Jusoh menumpukan usaha beliau kepada bidang yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh bumiputera yang berjaya di Kedah. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan perniagaan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Kampung Telok Kechai menjadi terkenal di seluruh negeri dalam tempoh yang singkat.

 1.4 PERKEMBANGAN YANG DILAKUKAN OLEH TOKOH DALAM BIDANG YANG DICEBURI

Perniagaan Din Laksa Telok Kechai sudah mengalami dekad perubahan dari segi ekonomi, politik dan sosial. Menurut beliau, walaupun laksa beras diasaskan pada tahun 50 an tetapi perniagaan ini berjaya menarik perhatian masyarakat yang menetap di luar kawasan Kampung Telok Kechai dan terkenal pada tahun 1971. Pada ketika itu, laksa beras beliau menjadi sebutan dan pilihan ramai orang. Pak Din yang arif akan dunia yang diceburi beliau mengatakan bahawa salah satu kaedah yang digunakan untuk menarik pelanggan tetap ialah dengan tidak sewenang-wenangnya mengubah harga makanan walaupun Din Laksa telah dikenali ramai oleh disebabkan prinsip utama yang diamalkan oleh beliau iaitu “keuntungan berasaskan kepuasan pelanggan” .  Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap peniaga-peniaga yang tidak beramanah dalam berjual beli dan berpendapat bahawa batu asas kepada perniagaan ialah kejujuran dan ikhlas yang ditonjolkan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi amal jariah yang perlu diutamakan .


1.5 JATUH BANGUN PERNIAGAAN YANG DIJALANKAN OLEH TOKOH

Ketika memulakan perniagaan, En Arifin dan Pak Din terpaksa menjual tanah selain berpindah dari rumah yang berada di Kuala Kedah dan berpindah ke kawasan Telok Chengai bagi memastikan apa yang dirancang menjadi kenyataan. Beliau nekad untuk menjadi pengusaha laksa beras yang berjaya supaya nama Din Laksa Telok Kechai dapat memperkenalkan jenama laksa beras ke seluruh pelosok Malaysia. Idea penubuhan ini disuarakan oleh En Arifin yang berjaya menemui resepi rahsia kuah laksa yang diturunkan oleh nenek saudara beliau yang berasal dari Siam . Tanpa melengahkan masa, mereka memulakan perniagaan dengan menggunakan bahan yang sedia ada malah sedikit akibat kekurangan modal. En Arifin dan Pak Din terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menghasilkan bahan-bahan untuk pembuatan laksa kerana ingin kos mesin yang agak mahal pada ketika itu. Selepas menjualnya kepada jiran-jiran terdekat, Pak Din mengambil pendekatan untuk mempopularkan laksa dengan melakukan publisiti dari mulut ke mulut dan usaha ini ternyata berhasil apabila pelanggan semakin bertambah dari semasa ke semasa.

 Pada akhir tahun 1998, Pak Din telah mendapat idea untuk memindahkan lokasi perniagaan mereka ke suatu tempat yang lebih luas akibat keterbatasan ruang semasa berniaga dibawah rumah beliau. Oleh itu, beliau telah membeli sebuah lot tanah yang terletak bersebelahan dengan rumah yang diduduki beliau. Ini juga bagi memudahkan pergerakkan dan kerja untuk menjalankan perniagaan kerana lokasinya yang berdekatan antara satu sama lain. Melalui perancangan dan pelaksanaan inilah laksa beras beliau telah dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Din Laksa Teluk Kechai. Walaupun perniagaan ini telah menerima pelbagai cabaran, persaingan yang kuat dan kedudukan ekonomi yang gawat tohmahan dari masyarakat tetapi berkat kebijaksanaan dan ketekunan En Kamaluddin, beliau bersama-sama keluarga beliau berjaya mengharungi segala permasalahan yang mendatang dengan sabar. Kini Pak Din menghabiskan masa lapangnya dengan beribadah selepas mewariskan  perniagaan itu kepada anak cucunya.




GAMBAR-GAMBAR YANG DIAMBIL DARI TAHUN 1973 HINGGA 2014

No comments:

Post a Comment